Petikan Khutbah Jumaat JAIS 2 Disember 2011 di Masjid UPM...oleh Ahmad Fahme bin Mohd. Ali ahmadfahmee@yahoo.com
Ilmu dalam
ertinya memahami sesuatu dengan hakikatnya. Dengan pengetahuan inilah manusia
melakukan perbuatan amalnya. Jika manusia tidak memiliki ilmu dan amal, maka
tiadalah dana baginya di dunia dan sia-sialah hidupnya serta mendapat kerugian
di akhirat
Apabila kita
berusaha mencari dana di dunia ini sebelum ke akhirat, terlintas di fikiran
kita untuk mencari segala keperluan yang berupa wang, harta dan kemewahan di
dunia sebelum ajal menemui kita. Inilah perkara yang selalu difikirkan oleh
sebahagian masyarakat kita sehinggalah kita lupa bahawa kehidupan ini
sebenarnya hanya sementara untuk mencari bekalan menuju kehidupan yang hakiki
di akhirat kelak. Setiap amalan akan mempunyai nilai jika berlandaskan
ilmu pengetahuan, begitu juga dengan ilmu akan mempunyai nilai yang tinggi jika
diiringi dengan amal. Keduanya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Pengertian
amal dalam pandangan Islam adalah setiap amal soleh atau setiap perbuatan kebajikan
yang diredhai oleh Allah SWT. Dengan demikian, amal menurut Islam tidak hanya
terbatas pada ibadah, sebagaimana ilmu dalam Islam tidak hanya terbatas pada
ilmu fikih dan hukum-hukum agama sahaja.
Ilmu ini
mencakupi semua yang bermanfaat bagi manusia seperti meliputi ilmu agama, ilmu
alam, ilmu sosial dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini jika difahami dan dikembangkan
dengan sebaiknya akan memberikan impak yang besar kepada peradaban dan
kemajuan tamadun manusia. Misalnya, perkembangan sains dan teknologi akan
memberikan kemajuan dan daya saing dalam kehidupan manusia. Demikian juga
perkembangan ilmu-ilmu sosial akan memberikan penyelesaian terhadap masalah
masalah yang berlaku dalam masyarakat. Justeru, penghayatan ilmu dengan amalan
merupakan satu perkara yang dituntut oleh Islam. Menurut para ilmuan Islam,
untuk menjadi orang bijaksana, terdapat dua hubungan ilmu dengan amal iaitu:
Pertama : Ilmu adalah pemimpin dan pembimbing amalan perbuatan seseorang.
Bertindak melakukan sesuatu tanpa didasari pengetahuan atau ilmu adalah umpama
berjalan dalam kegelapan, tidak menuju ke arah tujuan yang sebenar.
Kedua : Sesungguhnya ilmu dan amal saling beriringan. Sesiapa yang berilmu
maka dia hendaklah beramal, baik ilmu yang berkaitan dengan masalah ibadah
mahupun ilmu-ilmu yang lain. Amal merupakan buah dari ilmu, jika ada orang
yang mempunyai ilmu tapi tidak beramal maka seperti pohon yang tidak
menghasilkan manfaat bagi penanamnya. -SUARA PIUPM-
--------------------------------------------------------------